|
ADVERTISEMENT




 |
 |
Sejarah Pulau Pangkor
KOTA BELANDA adalah gelaran yang diberi
oleh orang-orang Melayu kepada runtuhan Pulau Pangkor. Bagaimanapun, rekod-rekod
merujuk kepada binaan tersebut sebagai Kota Dindingh, sempena nama Sungai
Dinding di pantai barat Semenanjung dalam Negeri Perak.
Perak merupakan sebuah negeri pengeluar timah
yang paling utama di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu dan Syarikat Hindia
Timur Belanda berhasrat mengawal dan mengekalkan monopoli perdagangan komoditi
tersebut. Kapal-kapal perang dan kapal-kapal dagang Belanda bertaburan di
perairan Perak pada hampir sepanjang kurun ketujuh belas dan kelapan belas.
Ada sebab-sebab strategik mengapa Belanda
menempatkan kapal-kapal mereka di sini. Perak merupakan pintu masuk utama ke
Aceh manakala negeri Sumatera tersebut adalah musuh Belanda. Dengan alasan ini
sebuah tapak pengawasan diasaskan di Teluk Gedung pada tahun 1670 untuk memberi
sokongan dan bantuan kepada kapal-kapal yang membuat sekatan-sekatan di laluan
perairan Selat Melaka. Satu lagi sebab ialah untuk melemahkan saingan
orang-orang British yang juga aktif berdagang di kawasan ini.
Mengikut laporan Gabenor Belanda Balthasar
Bort dalam tahun 1678: “pada ketika ini 59 orang berada di Perak, terbabit
dengan usaha sekatan di tempat itu dan mereka ini ditempatkan di Pulau Dinding,
yang mana Syarikat Yang Dihormati memilikinya, menetap dalam sebuah kubu yang
diperbuat daripada kayu berbentuk segiempat, dilengkapi 9 buah meriam.”
Di antara 59 orang itu ialah seorang
saudagar yang menjadi penyelia, seorang kapten, seorang jurukira, tiga pembantu,
tiga pegawai, dua doktor, lapan pengawal dan 40 kelasi. Selain kubu tersebut
mereka juga memiliki kapal layar dan perahu ‘Laren’, ‘Cacap’ dan ‘Dindingh’.
Orang-orang Belanda ini, walaupun mereka
turut berdagang dengan orang-orang Melayu, mereka kurang percaya kepada penduduk
tempatan ini. Kerana takut kepada orang-orang Melayu mereka tidak berani
meninggalkan kubu mereka terlalu jauh kerana hanya di kubu itu sajalah mereka
berasa selamat. Beberapa tahun
kemudian kubu ini diperkasakan dengan binaan bangunan batu dan dilengkapi 12
hingga 14 buah meriam.
Seorang peneroka dan pelayar British,
William Dampier, menceritakan satu peristiwa: “Gabenor, tetamu-tetamunya dan
beberapa orang pegawai baru sahaja hendak makan apabila seorang soldadu
bertempik, ‘Melayu!’ Sepantas kilat gabenor itu melompat keluar melalui tingkap,
untuk segera berlindung di kubu. Pegawai-pegawai pun berebut-rebut, diikuti
orang-orang suruhan, untuk cepat sampai ke kubu: ada yang keluar ikut tingkap
dan ada yang keluar ikut pintu. Tiga orang tetamu gabenor terpegun dan
terpinga-pinga ditinggalkan di situ.
“Di kubu, mereka menembak ke arah laut
bertalu-talu memberi isyarat kepada orang-orang Melayu bahawa mereka sudah
bersedia untuk mempertahankan diri, tetapi musuh yang ditakuti tidak juga
sampai-sampai.
“Sebenarnya, berapa orang soldadu Belanda
yang sedang memancing tidak jauh dari teluk itu telah diserang oleh orang-orang
Melayu yang bersenjatakan keris dan lembing. Beberapa orang daripada mereka
telah dibunuh sementara yang lainnya terjun ke laut dan berenang ke darat. Salah
seorang yang terselamat inilah yang bertempik begitu kuat sehingga menakutkan
gabenor yang baru sahaja hendak makan.
“Kami berjaga sepanjang malam dengan semua
senjata siap sedia untuk digunakan. Tetapi pada malam itu hujan lebat dan saya
tidak takut sangat diserang oleh orang-orang Melayu kerana menurut salah seorang
kelasi yang kami ambil dari Melaka, orang-orang Melayu ini tidak akan menyerang
di dalam hujan. Keesokan paginya kami pergi mencari musuh dengan kapal di
sekeliling pulau tetapi tidak menjumpai mereka. Selepas itu kami pun pulang dan
berlabuh.”
Pada
tahun 1690 kubu Belanda ini telah diserang sekali lagi oleh Panglima Kulup dan
pengikut-pengikutnya. Semua orang Belanda telah terbunuh di dalam serangan ini.
Pada 24 Jun 1693 sebuah arahan telah dikeluarkan bahawa askar-askar tidak lagi
ditempatkan di Pulau Dinding (Pangkor) dan sebuah tugu dibina dengan meletak
lambang Persekutuan Syarikat Hindia Timur dan lambang Wilayah Bersekutu sebagai
tanda hakmilik Belanda. Pada 1695, 1721 dan 1729 arahan-arahan dikeluarkan untuk
membaiki tugu ini. Pada 20 November
1745 Gabenor-Jeneral Gustraaf Willem, Baron van Imhoff mengarahkan pembinaan
semula kota di Pulau Dinding: dikawal oleh sebuah ketumbukan yang anggotai 30
orang Eropah dan 30 orang berketurunan Asia (kecuali orang-orang Bugis). Tetapi
pada 22 Oktober 1746, Ary Verbrugge telah dihantar untuk memastikan Sultan
membenarkan sebuah kubu dibina di hulu sungai dan bersetuju untuk menjual timah
kepada Syarikat. Sultan Muzaffar Shah III telah menandatangani perjanjian ini
pada 25 Jun 1747. Pada 18 Oktober 1748 van Imhoff mengarahkan ketumbukan di
Pulau Dinding dipindahkan ke kubu yang baru ini.
Dipetik dan diterjemah oleh Ibrahim Nawawi
daripada rencana tulisan Sabri Zain (www.sabrizain.org.uk)
|
 |
|
Terdapat lukisan seekor harimau
sedang membaham seorang budak di Batu Bersurat ini, satu lagi tanda
yang ditinggalkan oleh orang-orang Belanda berhampiran Kota Belanda
di Teluk Gedung.
Lukisan itu dipercayai mengandung
sebuah cerita tragik, kononnya anak seorang pembesar Belanda telah
dilarikan seekor harimau. Oleh kerana kesedihan serta untuk
memperingatinya maka peristiwa tersebut dipahatkan pada batu ini.
Tetapi menurut penduduk tempatan,
kanak-kanak tersebut telah diculik oleh orang Melayu yang tidak suka
penjajah Belanda bertapak di Negeri Perak. Orang Melayu dilambangkan
sebagai harimau.
Turut terdapat pada batu tersebut
ialah ukiran tulisan 1743 I.F. CRALO dan lambang VOC (Veerenigde
Oostindische Compagnie) yang membawa maksud Syarikat Hindia Timur
Belanda. |
 |
Perjanjian Pangkor
ditandatangani pada 20 Februari
1874 yang telah memberi kebenaran
untuk Inggeris mencampuri urusan negeri Perak - satu kesilapan yang
telah dilakukan oleh Raja Abdullah Ibni Sultan Jaafar, tetapi telah
disedari hanya setelah semuanya ditandatangani.
Perjanjian ini berputik daripada
kemangkatan Sultan Ali, Raja Abdullah sepatutnya dilantik sebagai
sultan baru tetapi Raja Ismail yang telah dilantik. Perasaan tidak
puas hati inilah yang mendorong Raja Abdullah meminta bantuan
Inggeris. Satu lagi sebab ialah permusuhan dua kongsi gelap Cina,
Ghee Hin and Hai San untuk merebut lombong bijih timah.

Raja Abdullah
Campurtangan Residen Inggeris
telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang-orang Melayu,
khasnya golongan istana yang merasa kuasa mereka telah hilang. Rasa
tidak senang itulah yang membuka jalan nekad orang Melayu Perak
bertindak. Tanpa takut dan gentar, mereka telah berpakat membunuh
JWW Birch yang akibatnya ialah Perak berhadapan dengan Inggeris
dalam siri peperangan hingga tahun 1876.
Ramai wira Perak yang terlibat
dalam pembunuhan Birch telah ditangkap dan dihukum bunuh. Antaranya
Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana
Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan lain-lain.
Walaupun wira-wira bangsa ini
berjaya dibunuh oleh Inggeris, namun peristiwa Pasir Salak itu telah
mengajar Inggeris bahawa mereka tidak boleh mengambil mudah dan
memperbodohkan orang Melayu.
Inggeris kemudiannya telah
membuka lebih banyak lombong bijih timah di Perak dan ladang-ladang
getah. Bandar-bandar baru telah muncul dengan pesatnya di Perak.
Kemunculan bandar-bandar baru ini telah dengan sendirinya
mengasingkan orang Melayu daripada pembangunan.
Perak menikmati kemakmuran
daripada bijih timah lebih 100 tahun. Kemudian pada 1970, ekonomi
Perak mula menjunam dan hampir muflis ekoran kejatuhan harga bijih
timah di pasaran dunia. Smpanan timah antarabangsa telah melebihi
aras yang dikehendaki hingga menyebabkan logam itu melebihi daripada
permintaan. Tauke lombong gelisah dan ramai pelombong hilang
pekerjaan. Situasi ini mengajar Perak dan khasnya Malaysia agar
tidak bergantung kepada satu sumber ekonomi sahaja.
|
|